RSS

20090413

13042009


bila april tiba...
hati mula berkata...
setahun lamanya...
perkenalan kita...


"ayat cerpen ni pendek-pendek je. jangan kamu guna kata hubung jadi ayat panjang macam dalam prosa tradisional pula." suara cikgu imah kembali bergema.

nuraisha ralit memerhatikan guru muda itu yang berjalan dari meja ke meja pelajar yang lain. baju kurung yang berwarna lembut yang dipakai oleh cikgu imah berkibar-kibar disapa angin pagi. sambil berjalan, bibirnya tidak putus-putus memberi penerangan tentang cara menghasilkan cerpen yang bermutu. sesekali suaranya ditinggikan, melawan suara pelajar di kelas 4 al-ikhlas itu yang semakin rancak berbincang.

nuraisha mengalih pandangannya yang sedari tadi tertumpu pada wajah bersih cikgu imah. kertas kajang di hadapannya menjadi tumpuan. bebola matanya berlari, meniti huruf-huruf di atas kertas kajang itu. berulang kali nuraisha membaca soalan yang diberikan oleh cikgu imah tadi. otaknya cuba fokus pada kehendak soalan. bibir mungilnya turut bergerak-gerak. sesakali nuraisha mendongak, memandang guru yang berusia awal 40-an. telinganya culas menangkap setiap kata yang diutarakan. gadis yang berusia 15 tahun itu cuba menjalinmesrakan maklumat-maklumat yang diperoleh. cuba untuk menghasilkan satu impak yang berkualiti. cuba untuk membuat yang terbaik.

nuraisha menongkat dagu. matanya meliar, memerhatikan gelagat rakan-rakan sekelasnya. pen ditangannya diketuk-ketuk pada permukaan meja. menghasilkan bunyi yang tidak berirama. sumbang. menulis cerpen memang mainan bagi gadis berbaju biru ini. tetapi, dia kebiasaannya menulis untuk meluahkan perasaannya. dia teringat pada satu falsafah barat, 'the paper is the greatest listener and the pen is the most able story-teller.' sebab itu nuraisha senang menulis. dia tidak suka membebankan rakan-rakannya dengan masalah yang dihadapinya. dia sedar rakan-rakannya sentiasa disisinya. namun, dia lebih suka berselindung di sebalik perwatakannya yang sentiasa ceria.

tiba-tiba nuraisha tersentak. soalan leeya cukup memberi kesan di hatinya. kelas yang tadinya gamat, beransur-ansur tenang. masing-masing menumpukan perhatian kepada cikgu imah yang mengukir senyuman.

"cerpen berunsurkan cinta pun tak mengapa. asalkan tidak lari daripada tema kasih sayang. kamu jangan sempitkan skop kasih sayang tu," jawab cikgu imah. kelas kembali bising apabila afiq mengusik leeya. merah padam muka gadis itu apabila digandingkan dengan azami, pelajar tingkatan lima yang dikatakan meminatinya.

dalam kekecohan itu, nuraisha bungkam di tempat duduknya. biasanya, gadis itulah yang menggamatkan lagi keadaan. tetapi kali ini nuraisha kaku. fikirannya terganggu. perlahan-lahan dia menundukkan pandangannya. tangannya melakar-lakar kertas di hadapannya itu. telinganya masih terngiang-ngiang dengan penegasan cikgu imah tadi.

"kasih...? sayang...?" bibirnya mengungkap lembut. matanya membaca lakaran nama seorang lelaki pada kertas itu.

"aahh!" keluhnya.



****************



nuraisha terkesan pandangan itu lagi. tajam merenungnya dari jauh. dia berlagak tenang. cuba menyembunyikan keresahannyadaripada pengetahuan liena yang setia berjalan disisinya. angin yang bertiup lembut terasa sejuk di wajahnya, memberi tanda bahawa hujan akan turun. langit membiru sudah mula dilitupi tompokan awan hitam yang berarat sarat. seperti saratnya hati nuraisha sekarang dengan kegelisahan. namun, begitu mudah gadis itu melindungi perasaan sebenar. celoteh liena yang bercerita tentang sepupu lelakinya diberi sepenuh tumpuan. pandangan tajam itu langsung tidak dihiraukan.

Nuraisha menutup buku latihan Biologi di hadapannya yang berwarna hijau kebiru-biruan. Kejadian pagi tadi di sekolah masih berlegar dalam ingatannya. Dia rasa terganggu. Tidak sampai 15 minit dia cuba menumpukan perhatian terhadap subjek kegemarannya itu, ternyata dia tidak dapat lari daripada memikirkannya. Nuraisha memicit-micit kepalanya. Matanya dipejam. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkannya. Fikirannya begitu bercelaru.

Sekilas wajah itu terimbas disebalik matanya yang terpejam. Dia faham maksud renungan itu. Tetapi seringkali dia menafikan bisikan hati remajanya itu. Hatinya berperang dengan akal fikirannya sendiri. Andai waktu dapat diputar kembali, pasti dia lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Pasti dia tidak melalui saat-saat sukar begini. Memilih untuk mengorbankan atau berkorban. Nuraisha meraup wajah, mengharapkan kekeruhan di hatinya turut berlalu bersama sapuan itu. Hatinya masih berperang.
Nuraisha mengimbau kembali kenangan tahun lalu ketika dia berada di Tingkatan Tiga. Pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring dimasuki dengan azam yang tersemat di dada dan semangat yang berkobar-kobar. Tengah hari itu dia mendaftar masuk ke asrama bagi memulakan sesi persekolahan baru. Tahun itu, tahun penting baginya, di mana dia akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berbekalkan doa dan pesanan ibu bapanya, Nuraisha meneruskan persekolahannya sebagai seorang pelajar Tingkatan Tiga.
Pada tahun itulah perkenalannya dengan Farhan, seorang pemuda yang bijak dan baik budi pekertinya bermula. Hanya disebabkan oleh senyuman Nuraisha yang tidak lekang daripada wajahnya, Farhan sering datang ke kelasnya. Apatah lagi ditambah pula dengan perwatakan Nuraisha yang selalu ceria dan peramah, Nuraisha sering mengusik jejaka pemalu itu. Atas alasan selalu bersama dengan Amir yang sekelas dengan Nuraisha, Farhan juga semakin rapat dengan Nuraisha. Ternyata perwatakannya yang ringan tulang itu mengeratkan lagi persahabatan mereka.
Semakin hari, Nuraisha menghitung detik-detik PMR yang bakal menjelma. Tekanan begitu dirasakan. Tatkala itu, Farhan sentiasa disisinya. Dialah yang meniupkan semangat ke dalam dirinya, memberi kata-kata perangsang. Farhan jugalah tempat dia meluahkan masalah. Tempat dia menghamburkan tekanan perasaan dalam dirinya. Hanya Farhan yang setia menjadi penghibur. Meringankan beban yang digalas Nuraisha. Memastikan hari-hari yang dilalui cerah dan bermakna. Yang paling penting, Nuraisha sentiasa tersenyum.
Persahabatan mereka begitu akrab. Farhan terlalu menjaganya. Terlalu mengambil berat akan Nuraisha. Lagaknya seperti seorang abang yang melindungi adiknya. Farhan dan Nuraisha sama-sama membantu sehingga kejayaan dalam peperiksaan PMR dirangkul bersama. Tali persahabatan mereka sungguh unik dan kukuh sehinggakan ramai yang memandang dengan mata cemburu.

“Farhan janji…Farhan takkan tinggalkan Aisha. Aisha pun sama tau…jangan tinggalkan Farhan…kita kawan sampai bila-bila.”

Nuraisha membuka matanya. Tangannya menguak rambut perangnya yang separas bahu. Nafas ditarik berulang kali. Dalam. Mengharapkan kelegaan pada dadanya. Nuraisha sungguh tidak menyangka yang Farhan begitu serius dengan kata-kata yang pernah diucapkan. Sungguh. Tidak pernah dia sangka perhatian istimewa yang diterima daripada Farhan selama ini menyimpan makna yang tersirat. Hubungan yang dibina atas dasar persahabatan memberi maksud yang berbeza kepada Farhan. Keakrabannya telah disalahertikan.

Nuraisha sendiri tergamam apabila Farhan berani meluahkan kata-kata sayang pada suatu petang. Petang yang sepatutnya dihabiskan dengan perbincangan subjek Kimia. Pada mulanya Nuraisha menganggap kata-kata itu sebagai gurauan. Tetapi Farhan begitu serius menegaskan. Tidak pernah Nuraisha menatap wajah sesungguh itu. Pengakuan berani Farhan benar-benar membuatkan Nuraisha kelu. Tidak pernah dia menyangka petang itu Farhan akan membuat kejutan seperti yang pernah dinyatakan. Apa yang lebih mengejutkan Nuraisha turut mengungkapkan kata-kata yang sama seperti Farhan sedangkan itu bukan kehendaknya dan Nuraisha bingung!

Nuraisha berteleku di atas sejadah. Begitu panjang doa yang dimunajatkan kepada Allah, Pencipta Sekalian Alam. Dialah yang menjadi tempat Nuraisha mengadu. Dipohonnya agar diberikan hidayah dan petunjukNya ke arah kebenaran. Betapa dia bergantung harap kepada Allah. Seterusnya Nuraisha memohon dikurniakan ketenangan hidup dan jalan yang lurus. Dia berserah kepada Allah tentang perkara yang berlaku dalam hidupnya. Hanya kepada Allah, dia bertawakal.

Nuraisha mengesat air matanya dengan telekung sembahyang yang dipakainya. Betapa kerdil dan lemahnya dia rasakan ketika itu sedangkan dia baru diuji dengan perkara yang ringan. Mampukah dia mengharungi ujian yang Allah berikan dengan sabar dan tabah jika ujian itu lebih berat dan hebat daripada ini? Nuraisha muhasabah diri. Sudah beberapa malam dia bertahajud memohon petunjuk. Kadang-kadang dia merasakan yang dia hanya membesar-besarkan perkara yang kecil. Namun dia sedar, dia tidak boleh berputus asa. Inilah cabaran hidup sebagai seorang remaja.

Nuraisha nekad. Prinsipnya harus dipertahankan. Dia tidak pernah menganggap Farhan lebih daripada seorang sahabat yang paling rapat. Nuraisha selalu mengingatkan dirinya. Had persahabatan dengan pelajar lelaki hanyalah kawan biasa. Tetapi apabila Farhan memecahkan tembok itu, dia membina tembok baru di mana hadnya hanyalah seorang sahabat baik. Pada mulanya dia menyangka Farhan juga telah berjaya memecahkan tembok itu tetapi kali ini dia yakin dengan dirinya. Tembok yang mengelilingi hatinya itu masih kukuh terbina. Bahkan lebih kuat dan gah melindungi hatinya daripada disentuh mana-mana lelaki. Nuraisha yakin, Farhan hanyalah sahabatnya.

Nuraisha lega. Apa yang terbuku di hatinya telah diluahkan. Alha
mdulillah, Farhan menerimanya dengan hati yang terbuka. Tidak pernah dia merasakan selega itu. Seolah-olah gunung yang menghempap dadanya hancur berkecai. Menjadi debu-debu halus yang semakin menghilang. Farhan sanggup berkorban demi menjaga persahabatannya dengan Nuraisha. Nuraisha sedar hakikat itu. Kalaupun Nuraisha perlu berkorban untuk Farhan, dia sanggup. Tetapi bukan sekarang. Masanya akan tiba. Suatu hari nanti.



“Aisha janji…Aisha takkan tinggalkan Farhan. Farhan pun sama tau…jangan tinggalkan Aisha…kita kawan sampai bila-bila.”






فجعلنـهم سلفا و مثلا للأخرين
~maka kami jadikan mereka terdahulu sebagai pengajaran bagi orang-orang yang terkemudian




-azzukhruf: 56-



footnote 1:) essay form 4 (2006)..cane ntah boleh jumpa semula..kelakar lak..tak sangka saya hasilkan essay macam ni zaman budak-budak dulu..essay je ye...no controversies..;)
footnote 2:) markah 28/30

footnote 3:) kak long...yang lepas pasti ada pahit manis untuk dikenang. tapi pastikan kita hari ini adalah mukmin yang lebih baik daripada semalam. adik bersyukur yang Allah sayangkan kita...

footnote 4:) hanya perkongsian cerita lama. ambillah apa yang bermanfaat.

footnote 5:) sanah helwah..








andai diberi peluang...untuk kuulangi detik dahulu...
pasti kau dapati...
hati ini takkan pernah jemu...

^frens^

 
Copyright ^(U)mbReLLa^ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .