20151227
sonata musim salju II
"kau lebih tahu erti setia." sambungmu, mengukir senyum paling manis. entah apa ertinya senyuman itu. mungkin ianya sebuah senyuman puas, kerana kau berjaya mencungkil segala cerita hatiku.
perlahan-lahan aku mengalihkan pandanganku dari mata hazelmu. menghela nafas lalu turun dari tungganganku. basikal itu aku tongkat sebelum melangkah ke arah ukiran patung idola pasangan kekasih di korea itu. kau turut mengekori langkahku.
"masakan aku lebih tahu erti setia." aku menggumam perlahan. namun cukup kuat untuk sampai ke telingamu. langkahku terhenti di hadapan patung hero dan heroin drama korea Winter Sonata. dan aku mengesani langkahmu yang turut terhenti di belakangku. sebelum kau mengambil satu langkah ke sisiku.
"kau lebih tahu. kerana darah yang mengalir dalam tubuh kakak-kakakmu, adalah darah yang sama mengalir dalam tubuhmu sekarang." kali ini kau kedengaran lebih berhati-hati bersuara. lebih-lebih lagi apabila topik perbualanmu berkisarkan kakak-kakakku. agaknya kau masih gentar kerana mataku yang berkaca secara tiba-tiba tadi. aku tersenyum di dalam hati.
"bukankah katamu, bukan aku yang mengalaminya. bagaimana pula aku lebih tahu?" aku memotong sebelum kau bersuara lanjut. langkah kuatur memanjat tembok rendah untuk berdiri searas dengan patung ukiran itu. aku mendongak, memerhatikan wajah mereka sebelum berjalan melepasi mereka ke arah sebuah kolam yang letaknya hanya beberapa langkah dari situ. airnya sudah beku.
kau masih setia membontotiku. kau menunduk, mengutip sebiji kerikil lalu kau lontarkan ke dalam kolam beku itu. batu itu tergolek lalu terhenti. tidak tenggelam.
"kerana kesetiaan tidak dipelajari melalui pengkhianatan. sepertimana cinta dan kepercayaan." kau menelan liur. aku menyarungkan semula sarung tanganku. kesejukan kian menggigit. mafla panjang milikku itu kulilit sekali lagi, mengemaskan duduknya disekeliling leherku. supaya ia lebih memerangkap haba.
"ia dipelajari melalui kesabaran. orang yang mampu mengharungi ujian hidup, bagiku adalah orang yang paling sabar. dan antara kakak-kakak kau dan kau," sekali lagi kau menelan liur. aku melatakan pandanganku.
"kau yang paling sabar." kau menyudahkan ayat.
jeda.
"bagaimana pula dibandingkan dengan kakak-kakakku, aku yang paling sabar? mereka diuji dengan pengkhianatan terhadap cinta dan kepercayaan oleh pasangan mereka, sedangkan aku tidak?" aku kehairanan. otak aku tidak mampu mencerna apa yang kau cuba sampaikan.
kau bersandar pada pagar kayu separas pinggang yang mengelilingi kolam beku itu. menghadapku. aku beranikan diri menatap mata beningmu, meminta penjelasan. senyuman yang kau ukirkan tampak berbeza hari ini. ah, kenapa dengan aku ni?
"kau bersabar dengan ketakutan kau. kerana kau tidak mengalaminya sendiri, kau ditindan dengan ketakutan terhadap segala kemungkinan yang kau ciptakan sendiri berdasarkan apa yang kau lihat, bukan apa yang kau alami." renunganmu lembut menyapa.
"dan kau bersabar dengan diri kau sendiri, intan." kau menokhtahkan kata.
aku terkedu. sebahagian aku cuba menafsirkan apa maksud di sebalik kata-katamu. tetapi sebahagianku yang lain terkesan dengan namaku yang kau sebut. kita jarang sekali berbual menggunakan nama seingatku. tunggu, bukan jarang tapi tak pernah.
lalu apakah perasaan halus ini saat kau sebut namaku? kenapa hatiku bergetar mendengarnya?
aku tersedar apabila kurasa kakiku dipaut. kupandang anak kecil bermata sepet yang sedang memeluk kakiku. dia terkekek memandangku. seketika kemudian sepasang suami isteri yang kukira ibu bapanya datang memohon maaf sambil menarik tangan si kecil itu. aku sempat mengusap kepalanya sebelum mereka berlalu. kami berbalas senyuman.
aku menghela nafas. pandanganku beralih dari kolam beku kepada pepohon pine yang menjulang ke langit. kau masih bersandar tapi pandanganmu telah beredar dari wajahku. entah apa yang berlegar dalam kepalamu kini.
"pine." aku memecah sunyi. mentari di ufuk barat belum sepenuhnya tenggelam. namun kukira tidak lama lagi malam akan mengambil alih. kau tidak berganjak tapi aku tahu kau menumpukan sepenuh perhatian. bibirmu membentuk sebuah senyuman kecil.
"kalau ia mempunyai perasaan, entah bagaimana remuknya memerhatikan setiap kali musim berganti, setiap kali itulah kesetiaannya teruji. setiap kali ia berharap supaya rimbunnya kembali ke bentuk asal namun kecewa apabila setiap musim ia tidak seperti yang diharapkan." aku melayangkan pandangan. mentari kini sudah lebih separuh tenggelam. rona jingga tercalit mewarnai awanan.
"tapi pada akhirnya, ia tetap akan menemui dirinya sendiri, kan?" kau menyoal. entah benar kau tidak melihat hala tuju perumpamaan itu ataupun kau sengaja buat-buat tidak tahu. kerana kau nyata selalu lebih mngetahui dariku. aku tak mampu meneka.
kepingan salji halus mendarat pada pakaianku. warna suci itu begitu kontra dengan jaket musim sejuk yang membaluti tubuhku. sejuk kian mencengkam. aku menutupi sebahagian kepalaku dengan hoodie, memperkemaskan balutan mafla merah hatiku lalu berpeluk tubuh.
"tak." aku menjawab sepatah. kau mengangkat kening.
"pada setiap penantian dan harapan yang dikecewakan, pada akhirnya ia tidak menemui dirinya sendiri." aku menghembus nafas.
"tapi ia menemui dirinya yang baru." kau bersuara serentak. aku menoleh. baki cahaya yang semakin menghilang menyimbah sebahagian dirimu. kau memberiku pandangan itu lagi. jantungku kembali menendang dada.
jangan! dia pun seorang lelaki!
senyumanku mengendur. teragak-agak aku akhirnya melangkah ke basikal. malam makin menghampiri. tidak lama lagi perkhidmatan feri balik ke Seoul akan tutup. kau kukira akan menghilang seperti selalu, setelah aku memperolehi pelajaran tentang kesetiaan.
"jadi," kau bersuara di belakangku. mematikan langkahku. kau masih di sini?
aku kaku. masih tidak berpaling.
"jadi, aku pun kau anggap seperti lelaki-lelaki itu?" kau bernada tenang tapi bagiku cukup tajam menikam. aku kehilangan kata-kata.
mana Eyn? mana Asmat? mana Nabil? aku resah.
terasa lambat kali ini aku terjaga. bukankah ini mimpi?
intan, bangunlah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
watak yang rumit. rungkai satu satu
ReplyDeletehaha. penulis dia otak complicated sangat. kesian kat watak cerita ni. >.<
Delete