RSS

20151223

Guadalquivir.


malam tidak menunggu lama untuk melabuhkan tirai. apatah lagi di musim sejuk. usai menunaikan solat jamak taqdim maghrib dan isyak aku menapak keluar. memberi alasan ingin duduk mengambil angin di perkarangan hotel kepada 3 lagi sahabat seperjalanan yang tanpa ragu membenarkan. tepat jam 5.30 petang.

kakiku tidak teragak untuk menapak melalui lorong-lorong asing bertemankan cahaya lampu neon jalan. beberapa wajah asing menyapaku sepanjang perjalanan dengan sebentuk senyuman. entah mungkin kerana aku bukan warga tempatan, atau mungkin kerana aku seorang perempuan. boleh jadi juga kerana aku bertudung litup. aku balas seikhlasnya.

aku melepasi Mezquita de Cordoba. mengatur langkah terus ke Puente Romano. San Rafael Arcangel statue menyapa pandanganku. bunyi Guadalquivir yang mengalir tenang membuatkan aku tersenyum. aku mengambil keputusan melabuhkan punggung di atas salah sebuah bangku di tengah-tengah Puente Romano. mengadap tenang Guadalquivir. mengadap tenang bulan purnama yang terang bersinar.

"macam mana? takut kan kahwin?"

kau bersandar menghadapku. tangan kau silang, bersahaja. entah ingin mengusir sejuk yang mencengkam atau kau ingin menyembunyikan gemuruh yang selalu kau rasa apabila berbicara denganku. aku tidak mampu membaca. tidak kali ini. pandangan kau tebar melepasiku.

aku tersenyum tawar. menghela nafas. kilau air memantulkan cahaya bulan tampak cantik. aku membetulkan mafla merah hati yang membalut leherku. kuangkat sedikit supaya menutupi hidungku yang mungkin sudah merah melawan kesejukan.

"kau tak perlu takut. kita tak pernah tahu dan kita tak pernah minta. semuanya Dia yang mengaturkan. kita hanya mampu doakan yang terbaik melayari bahtera bergelar rumahtangga."

kau bersuara lagi apabila diamku agak lama tidak membalas soalanmu. pantulan cahaya bulan pada riak air yang mengalir masih mencuri perhatianku. kau kukerling sekilas, masih bersandar. bersahaja. cuma kedua tanganmu sudah beralih tempat, menghuni kedua-dua poket seluarmu.

"ajarkan aku tentang kepercayaan."

kau tersentak. mungkin tidak menyangka aku bersuara lantaran aku seperti tidak menunjukkan minat untuk bersembang. atau mungkin juga kerana soalanku yang tidak terjangka. jeda. mata kita bertentang sebelum aku beralih memandang bulan. tidak mahu kau membaca hatiku. sekali lagi.

kau membelakangiku. kau kulihat menunduk mengutip sebiji kerikil. lalu kau lontarkan jauh. sebelum jatuh ke dalam Guadalquivir. menghasilkan riak-riak kecil, sebelum air kembali tenang. tanganmu kembali ke dalam poket seluar.

"kalau boleh aku umpamakan," kau memulakan bicara setelah agak lama diam. tenang sekali nadamu. aku berpeluk tubuh. udara malam kian menggigit. aku bersedia.

"kepercayaan itu seperti riak-riak air yang terhasil apabila aku lontarkan batu sebentar tadi, seperti yang kau lihat." kau berjaya mencuri perhatianku lagi. aku berdiri melangkah ke sisimu. tangan kurehatkan pada dinding jambatan yang separas dada. dagu kutongkatkan. kau mengerling.

"maksud kau, semudah itu kau rasa kepercayaan itu mampu dibaiki? setelah kau hancurkan tenang air itu?" aku bersuara setelah sepi terlalu lama mengambil alih. apabila kau tidak menunjukkan tanda-tanda ingin menyambung percakapanmu.

kau tersenyum. entah apa maksudnya tidak aku pasti.

"tak." sepatah jawabmu dalam senyum yang berpanjangan. kau memberanikan diri memandang tepat ke dalam mataku. aku terpaku. ada debaran halus kurasakan. aku kembali menghalakan pandangan menembusi kegelapan di hadapanku. aku tak mahu mataku mengkhianatiku lagi. cukuplah sekali kau membacanya.

"lalu, apa maksud kau?" asap nipis terhasil apabila aku menghembuskan nafas. aku meneka-neka suhu di dalam hati. pasti mencecah angka kosong lantaran sejuk yang aku rasakan tidak seperti biasa. mungkin faktor udara lembab lantaran sungai yang mengalir di hadapanku. atau mungkin juga kerana hati aku bergetar menantikan kata-kata yang kau bakal lontarkan.

"kepercayaan yang hancur takkan mampu dibaiki. seperti kertas yang digumpal. seperti kaca yang dipecahkan. seperti air yang dikocak ketenangannya. riak itu tetap terhasil. tiada yang mampu menghentikannya." kau menarik nafas. aku melatakan pandangan.

"itu kepercayaan sesama manusia. sebesar manapun batu yang dilontarkan, sebesar manapun riak yang terhasil, semuanya akan kembali tenang setelah waktunya. kerana kau punyai Tuhan. kerana kau punyai kepercayaan pada Tuhan."

aku kaku. aku masih merasai pandangan kau yang melekat pada wajahku. mungkin sekali lagi, kau cuba membaca riakku. mungkin sekali lagi, kau cuba menembusi cerita hatiku.

aku memandang Guadalquivir. meratakan pandanganku pada purnama yang sedikit terlindung, disapa awan putih. laju melepasi. Calahorra Tower di hujung jambatan tampak berbalam. beberapa orang warga tempatan melepasi kami. aku tunduk mengutip kerikil.

"kau benar. kata-katamu benar." hatiku berbisik. aku menghela nafas. legakah?

"tapi kau, kenapa?" kau berhati-hati bersuara pada pendengaranku. aku gelisah. apakah mataku telah mengkhianatiku lagi? bila? bukankah aku tidak memberi peluang untuk kau menembusi jendela hatiku?

"kenapa? kau tak pernah mengalaminya. bukan kepercayaan kau yang dihancurkan. jadi, mengapa kau terlalu takut?"

kau...

aku melontarkan kerikil yang kugenggam semenjak tadi. riak-riak halus terhasil sebelum air kembali tenang.

aku, kenapa?



*****

dan aku terjaga. lagi.

6 comments:

  1. powerlah penceritaan. berapa lama peram ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. xde lah se power sifu. dah jadi jeruk dah =D

      Delete
  2. lama tak jenguk sini..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha. lama xupdate pasal Ro >.<

      Delete
  3. Mafla merah hati. Jubah biru pekat. Takpun coklat. Haha

    Dinding masjid yg robek. Lampu-lampu sepanjang jambatan. Qudalquivir. Menara di hujung. Alir air. Bulan.

    Tak tahu kenapa, tapi tempat ini benar ajaib.

    ReplyDelete
    Replies
    1. jaket merah bata. snowcap putih. tshirt kuning? haha

      matahari terbit sebelah kanan, bulan purnama sebelah kiri. pagi yang indah.

      sudah cukup untuk memberitahu, yang tempat ini benar ajaib.

      Delete

(B)aja terbaik adalah yang berhikmah~

^frens^

 
Copyright ^(U)mbReLLa^ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .