RSS

20130923

23092013 02:46


Pernah rasa rindu aneh? Tiba-tiba masa lalu begitu rajin menjengah. Mencuri lebih separuh kotak fikiran. Buku kat depan mula jadi video, menayangkan sketsa hidup yang pernah dilalui.

Kadang senyum, kadang kerut. Semua orang kelihatan muda dan gembira. Kanak-kanak masih semuanya. Berseluar pendek, berlari berkejaran di tepi pantai. Berhenti menghampiri abah, rebah dan turut sama menggali remis. Tidak mahu kalah.

Berbasikal menuju ke sekolah. Petang damai yang melakar rencana buruk. Jalan pintas berakhir dengan luka pada tangan dan lutut. Gagal seimbangkan diri pada laluan titi. Baju putih taekwondo comot disapu tanah lembab. Pedulikan. Bangkit dan menyambung perjalanan. Latihan setiap petang sabtu sehingga tiba hari saya memegang tali pinggang hitam merah.

Itu juga aneh. Apabila rasa malu lebih berkuasa, menghilangkan perangai kelakian saya. Malu, apabila mula menerima surat layang di bawah meja. Malu, apabila kawan 'sejantina' waktu sekolah rendah dahulu mula bermain kata. Malu, apabila alasan belajar digunakan untuk berbasa basi selepas kelas.

Juga pernah. Apabila saya mula belajar yang dunia ini begitu luas. Luas pada hamparan tanah, budaya, bahasa. Berbeza indah pada setiap bangunan, pada setiap mentari terbit dan terbenam. Dan apabila angin mula berbicara, laut mula menyapa, alur sungai bersiul gembira, awan berkepul memberi rasa manis. Semanis gula-gula kapas.

Juga apabila saya belajar, ilmu begitu sukar didekati. Makin ditelan, makin dahaga. Baru berjaya menangkap satu, terus ia beranak pinak. Titis yang hilang diserap tanah rupanya berkumpul bertakung. Disentuh basah, ditangkap mengalir.

Aneh kamu, aneh. Mengapa?

Muka itu sudah berkedut seribu. Tapi masih mampu mengukir senyum. Senyum rindu. Kanak-kanak itu bukan lagi kami, tapi lahir dari rahim kami. Berkembang menambah generasi. Dulu hanya abang kakak adik, kini opah, aki, cik in, cik su.

Masa, tidakkah kau terlalu kejam pantas berlalu?

Dan saat saya gila sebegini, mata memberontak tidak mahu pejam sedangkan sekeliling pekat gelap. Jari laju meniti keypad. Laju dan gila. esok kelas pukul 9, saya tahu.

Tapi rindu aneh ini, mengapa?

Lebih aneh, saat sebegini kamu muncul menjengah. Kamu, yang sering berbicara melalui pena. Menjadi bayang yang kini saya kenal. Bersembunyilah sejauhnya, panjang dan pendek tetap kita bersatu pada satu titik pertemuan. Walau mentari menghilang, saat bulan menunjukkan wajah, kamu tetap ada.

Ma, abah. Jangan terlalu cepat menua. Intan merayu.

Rindu aneh, perlukah kau seaneh itu?

Tidak. Sayalah yang aneh.

Tuhan, moga hati ini Kau pegang. Kejap.

No comments:

Post a Comment

(B)aja terbaik adalah yang berhikmah~

^frens^

 
Copyright ^(U)mbReLLa^ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .