RSS

20110728

cinta haramain VII: raudhah~

mimpi antara syurga...
jejak yang tertunai...
juga angan yang kelam...



ustaz ada memberitahu, sebaiknya di makkah almukarramah hendaklah dibanyakkan zikir. kerana tanah itu terletak rumah Allah. manakala di madinah almunawwarah pula sebaiknya dibanyakkan selawat. kerana tanah ini terletaknya maqam Rasulullah saw.

pertama kali pandangan saya menyapa masjid nabawi, saya terkesima. ya, binaannya hebat. tapi bukan itu sebabnya. menjejak kaki ke dalam masjid itu, saya cuba bayangkan, bagaimana sebenarnya rupa masjid yang dibina Rasulullah saw pada zaman baginda. berbumbungkan pelepah tamar, bertiangkan pohon kurma, beralaskan pasir. bagaimanakah rupanya?

menjejakkan kaki ke dalam masjid itu, saya cuba bayangkan solat itu di azan oleh suara merdu si bilal, berimamkan Rasulullah saw, bermakmumkan sahabat-sahabat baginda. bagaimanakah rasanya?

"assalamu3alaika ya Rasulullah~"

salam yang diulang-ulang membuatkan mata saya bergenang. ini masjid baginda. di sini terletak rumah baginda. mimbar baginda. maqam baginda. dan jasad baginda. ya, jasad baginda. mati yang hidup~

kadang memberi salam dan selawat kepada baginda, membayangkan berhadapan dengan baginda, hati merasa suka. membayangkan baginda menjawab salam dengan senyuman. hati merasa gembira. gembira yang bertemankan air mata. kerana itu terlalu mustahil untuk menjadi kenyataan. kerana itu hanya sebuah bayangan. jauh di sudut hati ada perasaan yang menggigit. rindu~


"antara rumahku dan mimbarku adalah sebuah taman daripada taman-taman syurga~"


raudhah. antara tumpuan tetamu masjid nabawi ini. pengalaman menemui raudhah pasti tidak akan dilupakan. bermula sebelum berpijak lagi dalam kawasan raudhah di mana kami perlu menunggu lebih kurang dua jam sehinggalah melangkah keluar dengan air mata yang masih bercucuran.

kali pertama memasuki kawasan raudhah, saya tercengang. dengan manusia yang membanjiri, saya hanya mampu menunggu sambil perlahan-lahan menapak ke hadapan, mencari ruang sujud. kata ustazah yang membawa kami, kawasan raudhah dihampari karpet berwarna hijau.

lama saya berdiri sabar sambil cuba menapak ke hadapan, menganggarkan yang saya masih belum berpijak dalam kawasan raudhah sehingga satu saat saya terdetik untuk mengintai ke bawah. dan sebenarnya, kaki saya telah memasuki taman syurga itu~

Allah~

menjeling ke kiri mengucapkan salam kepada baginda dan sahabat, saya dah terasa malu.

"kau melihat, kan, ya Rasulullah? kau tersenyum, kan, ya Nabi Allah?"

soalan yang sering saya tanya kepada baginda selama saya berada di madinah, saya tanya kembali. cuma kali ini dengan jawapan yang teragak-agak. saya yakin baginda melihat tetapi saya ragu baginda tersenyum.

masjid nabawi merupakan tempat yang saya rasa paling banyak memerhati, menimbulkan persoalan dan menerbitkan kekecewaan. betul kata ma, ingin datang ke haramain bukan sekadar dengan keinginan dan rindu yang mencengkam tapi mesti dipenuhi ilmu yang mendalam. kerana tanpa ilmu, amal kita boleh jadi haram. dan kerana itu saya ragu baginda tersenyum.

dalam esak sujud lama saya ketika kali kedua berada di raudhah, saya tersentuh dengan seorang makcik arab yang sabar menunggu saya bangun dari sujud meskipun digasak tetamu lain dengan kata-katanya, "macam mana saya nak langkah orang yang sedang sujud sedangkan seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ketika dia sedang sujud?"

dan orang sepertinya di raudhah, mungkin hanya satu antara seribu~

raudhah. tempat yang membuatkan saya dua kali malu. malu pertama pada Tuhan. yang mengizinkan hamba yang penuh dosa ini menginjak lantai taman syurga. sedang diri rasa tak layak. dan penuh hina berdoa semoga jejak ini bukan yang terakhir. dan semoga jejak ini merasa pada syurga di sana~

malu kedua kepada baginda saw. di hadapan maqam baginda, umatnya tanpa segan silu tidak beradab. tolak menolak. jerit menjerit. tidak menghormati orang lain yang sedang solat. tidak juga mencerminkan akhlak yang baginda bawa. dan kerana itu saya ragu baginda tersenyum.

aku bersaksi yang engkau menyampaikan risalahNya, ya Rasulullah~

dan aku harap kau menjadi saksi yang aku cuba mengikutinya~



اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَيْهِ




cita menjejak syurga dunia...
dengan harapan tertunai...
syurga di sana...

^frens^

 
Copyright ^(U)mbReLLa^ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .