RSS

20160103

ibu.


Mata aku berair. aku tak faham keseluruhannya, tapi aku merasai semuanya. ibu bukan marahkan aku. ibu bukan marahkan adik. ibu juga tidak meradang pada baby arissa yang baru berusia 3 bulan. tapi ibu marahkan ayah. penampar sudah hinggap pada pipi keras ayah. ayah pula hanya menunduk. melawan pun tidak. apa yang ayah ulang hanyalah semuanya salah ayah.

aku memegang tangan adik yang kelihatan ketakutan. seperti aku. kami serba salah mahu ke mana. mahu berbuat apa. ibu marah tapi kenapa ibu yang menangis? dan siapa pula wanita cantik berambut perang yang menjejaki rumahku ini?

"sayang, sayang janji mahu kahwini nurain kan? mahu ceraikan betina ni kan?"

darah aku menyirap. aku tak faham keseluruhannya tapi aku boleh rasa apabila wajah ibu ketara berubah. tangan ibu terketar-ketar. mungkin sedang menahan marah. tapi kulihat air mata ibu semakin lebat bercucuran. kenapa ibu menangis?

ayah pula berwajah serba salah. kenapa ayah tidak menafikan? siapa wanita ini yang memanggil ayahku dengan panggilan sayang? betina itu apa? aku tidak tahu tapi aku boleh rasa yang perkataan itu bukanlah perkataan yang baik.

wanita itu kulihat mengalirkan air mata. dia menghampiri ayah dan memaut lengan ayah. aku bengang. ibu kata lelaki dan perempuan yang telah dewasa dan tiada pertalian haram bersentuhan. aku mengharapkan ayah menepis tetapi ayah hanya menolak lembut. kenapa dengan ayah? mana ayah yang tegas yang aku kenal?

"macam inilah nurain. nurain cakaplah, nurain betul ke mahu berkahwin dengan suami saya?"

suara ibu bergetar. ibu menyapu titis air mata yang berbaki. kenapa pula ibu berkata begitu? bukankah ayah telah berkahwin dengan ibu? bukankah tiga tahun lalu aku menjadi bukti pertama cinta ayah dan ibu setelah setahun berkahwin? apa maksud ibu?

"tak lina, abang tak nak kahwin dengan nurain. abang nak lina sorang saja dalam hidup abang."

"ini ke bukti yang abang nak lina sorang saja dalam hidup abang?!" ibu menempik belum sempat ayah menokhtahkan kata. aku tersentak. baby arissa kulihat terjaga dari lenanya. aku memimpin adik menuju ke sofa. baby arissa kutepuk-tepuk perlahan.

"sudahlah abang. ceraikan saja lina. abang pergilah hidup dengan nurain. cukuplah kepercayaan lina abang hancurkan. abang nak lina hidup macam biasa dengan abang setelah semua ni?!"

apa yang ibu cakapkan ni? aku tahu sebelum ini ibu dan ayah selalu bertengkar. ayah suka balik lewat malam. tapi ayah pergi kerja. ayah bagitahu aku, ayah terpaksa kerja untuk cari duit. untuk belikan aku dan adik-adik mainan.

tapi ibu selalu marah-marah ayah kerana balik lewat malam. ibu kata ayah orang lain pun kerja juga tapi mana ada orang yang kerja sampai lewat malam.

"ibu, kenapa ibu marah ayah? ayah kan pergi kerja." aku pernah bersuara suatu pagi setelah ayah keluar. malam sebelum itu ibu mengamuk lagi. kata ibu, ayah menipu ibu. waktu itu ibu dalam pantang setelah melahirkan baby arissa. entah kemana ayah belanjakan duit yang sepatutnya digunakan untuk membayar bil hospital sehinggakan ibu terpaksa menggunakan duit tabung aku dan adik.

tapi ibu membisu. hanya air mata ibu yang mengalir. dan aku memeluk ibu. waktu itu aku janji, aku takkan menyoal ibu lagi berkenaan itu.

lamunanku pecah dengan esakan ibu yang semakin kuat. ayah pula kulihat bungkam menunduk. aku dan adik melangkah ke arah ibu. aku dapat rasakan yang ibu adalah mangsa dalam situasi ini walaupun aku tidaklah memahami keseluruhan keadaan ini. aku memeluk erat ibu. titis air mata ibu kurasa membasahi rambutku.

aku menjeling wanita yang berambut perang itu. dia tersenyum sinis. aku geram. aku tahu pasti dialah punca ayah dan ibu bergaduh besar.

aku memandang mata ibu.

"ibu, apa pun yang berlaku, abang akan tetap melindungi ibu."

1 comment:

  1. Anonymous4/1/16 01:36

    wow makin berkembang tulisan kat blog ni. tengah siapkan novel ke apee. cepat siapkan kalau ya

    ReplyDelete

(B)aja terbaik adalah yang berhikmah~

^frens^

 
Copyright ^(U)mbReLLa^ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .