RSS

20120814

hidup nan rahsia~

langkah bisu...
sebuah hidup buta...


life is, but a walking shadow~



betapa, hidup ini satu rahsia.
memandang, mencungkil tanpa daya.

terawikh tadi diimamkan pula oleh seorang alhafiz berusia 22 tahun, dari palestin. jejak ramadhan beliau bersama 9 orang sahabat lain dari semenanjung ghaza, menjelajah 192 buah masjid seluruh malaysia. menyebar, menyampai.

tangisan al aqsa.

satu nikmat mendengar tazkirah beliau dalam bahasa arab. betapa rindu saya untuk mendengarnya dan memahami dalam rangkak. saat esak beliau pada doa qunut rakaat terakhir witir, hati saya berkaca.

betapa, hidup ini satu rahsia.

jutaan manusia di dunia ini, merangkak pada aturan takdir Tuhan yang tertulis. plot terkarang indah dan gundah. yang tinggal adalah manusia yang melalui dengan dungu. merasakan diri berusaha pada setiap kejadian.

lebih dungu, manusia yang melalui dengan alasan begini dia ditakdirkan!

memandang keliling. yang bertebaran setelah bertemu Tuhan. melangkah pulang membawa haluan masing-masing. atau lebih tepat, mencipta haluan masing-masing.

betapa, hidup ini satu rahsia.

sering saya rasa, kisah hidup manusia adalah sesuatu yang menarik. saya suka untuk tahu. saya suka untuk merenung. lebih indah jika ada yang sudi untuk berkongsi. bagai orang mengantuk, disorongkan bantal.

abstrak kisah yang sebenarnya rahsia dalam rahsia. dan hanya masa yang menentukan segalanya. masih tidak tergenggam pada kepal tangan kecil saya.

saya tak mampu menyelam semuanya. mungkin saja saya yang tenggelam kelemasan. tamak, itu saya. memandang kisah manusia lain.

dan terlupa kisah sendiri.

betapa, hidup ini satu rahsia.

si buta, si bisu, si tuli. warna warni hidup mereka bagaimana?

si sulung, si bongsu, si yatim. kisah mereka apa?

lelaki nan perkasa, perempuan nan bercinta. apa rahsia hidup mereka?

zaman berzaman manusia hidup dengan putaran yang termaktub. mengulangi dalam relung waktu sehingga tiba saat dipanggil mengadap. membentang amal, menghitung bekal.

diam.

tetap ia rahsia. tiada yang tahu, saat amal berkepuknya mungkin tinggal debu. tiada juga yang tahu, jahil bodoh sombongnya, darjat terangkat dipuji penduduk langit.

rahmat. itu rahmat pada tanganNya.

yang tinggal pada kita adalah usaha. usaha lantaran dungunya kita tentang takdir yang tercatat. rahsia yang diujarkan agar kita mengubah, barulah campurtanganNya untuk turut mengubah.

tapi tamak. itu saya. banyak yang saya inginkan. banyak yang saya ingin miliki. banyak yang saya ingin jadi. banyak yang saya ingin buat. dalam angan hidup panjang, di mana sedangkan sedetik selepas ini, mungkin ajal menjemput.

tamak itu, mungkin juga kita.


قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَـٰل

 Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?


 ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُہُمۡ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّہُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا

 (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.



betapa, hidup ini satu rahsia.
memandang, mencungkil tanpa daya.

semoga, di mana sahaja, sentiasa kita dalam keimanan.


أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآٮِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَزۡنً۬ا

 Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.


alkahfi: 103-105


di mana-mana sahaja.
bila-bila masa sahaja.

kita.


hingga bicara...
gegar membuka mata...

1 comment:

  1. Anonymous14/8/12 04:13

    "merasakan diri berusaha pada setiap kejadian.."

    ini harus dibumikan.

    ReplyDelete

(B)aja terbaik adalah yang berhikmah~

^frens^

 
Copyright ^(U)mbReLLa^ 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .